Mengalami batuk yang kerap dan sangat teruk? Batuknya juga berkahak dan dia mudah semput? Adakah batuk seperti ini normal atau tanda sesuatu penyakit. Jika ini berlaku kepada perokok dia adalah disebabkan perokok menghidap penyakit penyempitan saluran pernafasan yang kronik (COPD). COPD terbahagi kepada dua keadaan iaitu emfisema dan bronkitis kronik.
Dalam keadaan emfisema, pelampung paru-paru (alveoli) bercantum antara satu sama lain dan mengembang manakala dinding pelampung ini menebal akibat jangkitan yang berulang. Dengan ini penukaran gas oksigen dan karbon dioksida terjejas. Ini menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas yang kronik dan mudah semput.
Bronkitis kronik pula adalah keadaan yang memperlihatkan sel-sel dinding saluran pernafasan (bronki) menebal dan mengeluarkan kahak yang banyak. Ini mengakibatkan saluran pernafasan itu menjadi sempit. Pesakit akan mengalami batuk berkahak yang berpanjangan dan mudah semput. Pesakit juga mudah mendapat jangkitan paru-paru disebabkan oleh takungan kahak yang banyak.
Antara penyebab keadaan ini adalah tabiat merokok, jangkitan saluran pernafasan yang berulang atau kronik selain pendedahan yang berpanjangan kepada bahan alahan dan jerebu.
Lazimnya penyakit ini muncul apabila berlaku jangkitan paru-paru. Kerosakan pada saluran pernafasan ini adalah kekal. Ia akan berlarutan dan berkembang kepada kegagalan sistem pernafasan.
Cara merawat keadaan ini adalah dengan mengambil ubat pengembang saluran pernafasan (bronkodilator) seperti ventolin atau ipratropium bromide yang berkala, ubat cairkan kahak (mukolator).
Perlu juga untuk pesakit melakukan rawatan fisioterapi paru-paru untuk memudahkan kahak dikeluarkan. Bila berlaku jangkitan, pesakit perlu mengambil antibiotik. Bila keadaan menjadi tenat pesakit akan memerlukan oksigen berpanjangan secara berterusan.
Kita juga perlu mengambil rawatan pencegahan daripada mendapat jangkitan paru-paru seperti mengambil antibiotik secara pencegahan dan vaksin selesema dan pnuemococcus. Jauhi daripada terdedah kepada jerebu, debu, khalayak ramai yang meningkatkan risiko mendapat jangkitan saluran pernafasan.
4 ulasan:
rokok dh brenti..g klinik cakap paru2 ok jantung ok darah ok..camne nk dapatkn ubat..nafas cam semput..kahak cam byk jgk..
rokok dh brenti..g klinik ckp shat..jantung ok paru2 ok darah ok..camne nk dptkn ubat..nafas cam semput je..kahak cam byk gek kot..
Hi all. How are you?
Delete shis text plz. Sorry
Catat Ulasan