Sabtu, 5 Januari 2008

KAIL OH KAIL


Kail yang diperbaharui untuk tangkapan ikan oleh para nelayan dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Melaka. Mereka akan menguji mata kail jenis ‘Circle Hook’ bagi menggantikan ‘J Hook’ yang diguna pakai nelayan negeri ini dalam usaha mengurangkan kematian spesies bukan sasaran yang menjadi mangsa tangkapan. (kalau dapat anak ikan jangan la ambil yer.. biar la dia membesar dahulu.. kalau tak pupus keturunan ikan tu)

Mata kail jenis Circle Hook yang diuji nelayan Terengganu sejak awal tahun lalu didapati berkesan mengurangkan kadar kematian spesies dilindungi seperti penyu, mamalia laut ataupun ikan layaran, malah berjaya meningkatkan hasil tangkapan mereka.

Tambahan pula, mata kail ‘stainless steel’ ini semakin popular penggunaannya di Amerika Syarikat dan Kanada bagi menangkap ikan tuna sirip kuning (Thunnus albacares) serta meninggikan kadar kelangsungan bagi spesies yang bukan sasaran.

Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Zawawi Ali, berkata untuk tujuan itu pihaknya bersedia meminjamkan 20 mata kail jenis ini untuk diuji nelayan yang berminat dan sekali gus membantu jabatan mempromosikan penggunaannya pada masa depan.

Zawawi berkata, reka bentuk mata kail ini bergaris tegak pada bahagian kaki dan hampir bulat (melengkung ke dalam), berbanding J Hook yang menegak selari (menyerupai huruf J).

“Cara ia berfungsi iaitu apabila ikan atau nelayan bergerak, mata kail akan tertarik ke bahagian tepi mulut ikan. Hujung mata kail akan menangkap bahagian tepi dan bukannya mulut seperti dilakukan J Hook menyebabkan ia tersangkut pada bahagian dalam mulut, insang serta kerongkong.

“Bentuknya yang melengkung itu direka supaya ikan sukar hendak melepaskan diri walaupun pada tali yang kendur, ia selamat digunakan termasuk kurang risiko tersangkut pada batu karang atau bahagian atas bot dan amat berkesan memegang umpan mati atau hidup.

“Mata kail ini memberi kadar tinggi untuk hidup terhadap ikan yang ditangkap, berbanding J Hook yang kadang-kadang sebelum dinaikkan ke dalam bot hasil tangkapan berkenaan sudah mati. Pada masa yang sama mata kail J Hook turut menjejaskan hasil tangkapan dan menimbulkan kecederaan pada mata ikan,” katanya kepada Joran.

Paling penting mata kail ini menepati kehendak persatuan antarabangsa bagi memastikan aktiviti perikanan yang lebih bertanggungjawab (CCRF), mengurangkan kematian penyu (FAO dan IOSEA) serta ASEAN dalam menentukan perikanan dan pengurusan sumber dilakukan secara mapan.

Kajian juga mendapati Circle Hook tidak mencederakan penyu kerana pusat lengkungan mata kail ini tidak mudah tersangkut pada mana-mana bahagian haiwan vertebrata berkenaan, sekali gus boleh membunuh ikan.

Tiada ulasan: