BASIKAL memang biasa kelihatan di mana-mana namun pernahkah anda melihat basikal yang diperbuat daripada kayu sepenuhnya?
Memang ia tidak boleh ditunggang namun kehadiran basikal berkenaan di Galeria Perdana, Langkawi nyata mampu menarik perhatian ramai pengunjung.
Basikal yang menjadi koleksi peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini dihadiahkan oleh warga Sekolah Menengah Vokasional Muadzam Shah, Pahang pada 1994.
Basikal antik ini dihasilkan daripada campuran kayu cengal dan papan lapis serta lima peratus besi untuk bahagian tertentu.
Ia disiapkan pelajar dan guru sekolah berkenaan dalam tempoh dua bulan sempena pertandingan Kemahiran dan Rekacipta Peringkat Kebangsaan 1994. Seperti diduga, basikal ini memenangi pertandingan itu dan pihak sekolah mengambil keputusan untuk menghadiahkannya kepada Tun.
Biarpun berusia 13 tahun namun kerana dijaga rapi, basikal ini masih kelihatan baru dan berkilat, tidak hairanlah ramai pengunjung seakan tidak percaya umurnya.
Antara koleksi yang dipamerkan bersama ialah beberapa jenis basikal termasuk basikal bermotor baron, elektrik, basikal lumba Shogun dan lumba Colnago, Itali.
Selain itu, ruang pameran di tingkat bawah blok C ini turut memuatkan pelbagai jenis koleksi kenderaan Tun yang dihadiahkan orang perseorangan mahupun syarikat terkemuka.
Pastinya, ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan bersama kereta lumba Formula Satu, F1 Sauber Petronas yang pernah dinaiki Nick Heidfeld.
Selain itu, ada tiga kereta kuda antik turut dipamerkan antaranya dari Argentina dan Kelantan.
Namun, koleksi kenderaan ini hanya sebahagian saja. Lengkapkan kunjungan anda ke pameran cenderahati dan anugerah terbesar negara ini dengan melihat sendiri pelbagai koleksi Tun dan isteri yang begitu unik serta mempunyai makna tersendiri.
Galeria Perdana yang mempunyai tiga bangunan dibahagikan mengikut kategori tertentu seperti tingkat bawah blok A yang menempatkan hadiah unik daripada jenis batu, kristal, kaca serta batuan permata manakala tingkat satu memuatkan barangan hiasan rumah yang diperbuat daripada porselin serta tekstil yang memaparkan unsur Islam.
Sementara itu, pengunjung juga pasti terpegun dengan sebuah ukiran batu yang digelar Window of Opportunity di depan pintu masuk terbaru Galeria Perdana.
Batu berusia jutaan tahun ini dibawa khas dari Zimbabwe dan diukir oleh juruukir terkenal, Gerald Takawira.
Dengan ketinggian tiga meter, ukiran batu ini disokong oleh ukiran lima bilah menegak yang menggambarkan kunci utama kepada pembangunan infrastruktur negara serta visi, strategi dan polisi Tun Dr Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan