Rabu, 22 Ogos 2007

UTM juarai Uniten Rowing Invitational 2007

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjuarai pertandingan Uniten Rowing Invitational 2007 selepas mengutip 96 mata, mengatasi pencabarnya, Universiti Malaya (UM) yang menduduki tempat kedua dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 89.

Tempat ketiga dimenangi Universiti Tenaga Nasional (Uniten), apabila berjaya mengumpul sebanyak 75 mata dan semua pemenang membawa pulang sijil dan piala. Hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden/Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Pertandingan anjuran bersama Uniten dan Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) itu diadakan selama empat hari mulai 16 Ogos lalu bertempat di Pusat Rekreasi Air, Putrajaya. Sebanyak 20 pasukan menyertai pertandingan tahun ini iaitu 13 pasukan mewakili institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan, manakala baki tiga pasukan lagi mewakili Singapura dan Filipina.

Antaranya, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Ateneo, Filipina; Universiti Nasional Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Selain itu penyertaan dari empat pasukan sekolah menengah sekitar Putrajaya iaitu Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya; Sekolah Menengah Sultan Alam Shah, Putrajaya; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 1 dan SMK Putrajaya 2.

Sementara itu, Che Khalib ketika berucap berkata, pertandingan itu diadakan sejak 2005 dengan hanya enam penyertaan.

"Pertandingan ini bertujuan memperkenal dan mempopularkan sukan mendayung di kalangan pelajar IPT, sekali gus mengenengahkan Pusat Rekreasi Air Putrajaya sebagai lokasi utama sukan air negara.

"Lagipun, TNB yakin sukan adalah kegiatan luar terbaik untuk membina j ati diri golongan muda," katanya.

Katanya, kegiatan mendayung menerapkan tiga elemen penting iaitu kekuatan, daya ketahanan dan semangat berkumpulan, yang amat penting dalam kehidupan seharian.

Tiada ulasan: