Rabu, 22 Ogos 2007

Graduan UTM penerima PhD termuda

Dalam tempoh seminggu, rekod Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melahirkan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda negara, kemudian ianya dipecahkan pula apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan Majlis Konvokesyen ke-39 di Johor Bahru.

Pada majlis itu, Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi, 25, akan dianugerahkan ijazah PhD, sekali gus mengatasi rekod Siti Norasmah Surip, 26, yang menerima ijazah sama pada konvokesyen UKM minggu lalu. Sharifah Rafidah, anak kedua daripada empat beradik dilahirkan pada 10 Oktober 1981 di Bintulu, Sarawak dan memulakan persekolahan menengah dari 1993-1998 di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Mara Banting, Selangor sehingga 2000.

Beliau kemudian mengikuti pengajian di University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan tamat pada 2003. Beliau diterima menjadi tutor di UTM dan melanjutkan pengajian di universiti itu pada peringkat sarjana.

Disebabkan pencapaian cemerlangnya pada tahun pertama pengajian sarjana, UTM bersetuju menaikkan status pengajian beliau ke peringkat PhD pada 2005. Dr Sharifah Rafidah berjaya menamatkan pengajiannya pada Mac 2007.

Beliau sudah menerbitkan lima makalah yang terbit dalam jurnal antarabangsa, tiga artikel majalah antarabangsa, satu jurnal kebangsaan, satu majalah kebangsaan, dua persidangan antarabangsa, tiga persidangan kebangsaan dan tiga paten yang difailkan.

Sharifah Rafidah juga berjaya meraih pelbagai anugerah seperti perkhidmatan cemerlang 2006 (cuti belajar); Pingat Emas Ekspo IPTA mengenai penyelidikan dan pembangunan 2005; juara Pertandingan Rancangan Perniagaan MSC-IHL, 2005; juara Pertandingan Rancangan Perniagaan UTM-Mara-MDC, 2005; Pingat Perak Ekspo Sains & Teknologi 2004 dan Pingat Perak Inatex 2004.

Sharifah Rafidah kini dilantik pensyarah kanan (gred DS51). Beliau juga aktif menjalankan pelbagai projek penyelidikan menerusi geran penyelidikan yang diperoleh menerusi dua geran E-sciencefund Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan dua geran pengkomersialan.

2 ulasan:

Orked berkata...

Salam, semalam saya membaca surat pembaca di Berita Harian...Ini saya copy untuk saudara

Penerima PhD muda sama baya


MERUJUK kepada laporan Berita Harian bertajuk ‘Graduan UTM penerima PhD termuda’ pada 17 Ogos lalu, saya terpanggil untuk membuat sedikit pembetulan berhubung graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dikatakan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) lebih muda daripada graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang baru seminggu menerima anugerah itu.



Ternyata bukan saja mereka sebaya (26 tahun), malah jika diteliti, sebenarnya Dr Siti Norasmah lebih muda 11 hari daripada Dr Sharifah Rafidah.

Walaupun sudah lebih setengah tahun kita di tahun ini, kita masih mengira umur yang lama (pada 2006) selagi belum menyambut ulang tahun kelahiran pada tahun ini?

Ralat sekecil ini tidak seharusnya berlaku. Kredibiliti seseorang itu tidak bergantung kepada usianya menamatkan pengajian pada peringkat apa sekalipun. Apa gunanya membandingkan jika faktanya tidak betul.

ISMANIZA ISMAIL,
Universiti Teknologi Mara (UiTM).


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Surat/20070823225727/Article/

amridin berkata...

wah tak tahu plak pasal tu...