Semalam aku menonton rancangan di TV3.. Rancanga Majalah3 yang mengisarkan tentang kepentingan sel stem dalam perubatan untuk membantu manusia yang menghadapi penyakit-penyakit tertentu.. hari nie.. aku nak la korang semua tahu akan kepentingan sel stem tu..
Pada suatu waktu dulu, bidang bioteknologi juga menerima desakan demi desakan akibat daripada pertikaian hukum-hukum Islam terutama yang melibatkan aspek biologi seperti sel stem darah tali pusat, sel stem embrio, darah tiruan, pengklonan, dan sebagainya.
Bercakap mengenai soal hukum penggunaan sel stem dalam bidang perubatan di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan fatwa bahawa sel stem boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan kaji selidik dengan syarat-syarat tertentu iaitu sel stem dewasa dan sel stem daripada kanak-kanak yang ingin digunakan harus mendapat keizinan dari ibu bapanya dan prosedurnya tidak memudaratkan, tetapi bagi tujuan komersial adalah diharamkan.
Sebenarnya sel stem ini adalah jalan yang terbaik untuk orang yang mengalami masalah penyakit genetik. Ianya melibatkan bidang bioteknologi yang semakin hari semakin hangat diperkatakan di Malaysia ini.
Apakah sel stem?
Sel stem ialah Master Cells kerana dari sel utama inilah terbentuknya pelbagai tisu, organ, dan sistem di dalam keseluruhan sistem tubuh kita. Sel stem mempunyai kemampuan untuk berubah menjadi kebanyakan jenis sel atau tisu dalam badan manusia yang lain.
Apakah yang dimaksudkan dengan darah tali pusat? Darah tali pusat adalah darah yang berada di dalam salur tali pusat dan uri yang keluar bersama-sama dengan kelahiran bayi apabila tali pusat tersebut dipotong. Secara tradisinya dalam masyarakat Melayu, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada bapa untuk dibasuh dan ditanam. Darah tali pusat merupakan punca yang baik bagi sel stem.
Sel stem adalah sel kosong berbanding dengan sel-sel lain yang bersifat tersendiri seperti sel hati, sel lemak, sel saraf dan sel kulit. Ini bermakna sel stem memiliki keupayaan terbahagi dan menghasilkan lebih banyak sel kosong dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih. Darah di dalam tali pusat bayi adalah sumber sel stem yang sangat bernilai secara genetiknya untuk bayi dan keluarga.
Sel stem yang ada di dalam tali pusat adalah blok binaan kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada sel darah merah, sel darah putih dan platelets iaitu sel yang akan memulihkan kecederaan. Kini, penyelidikan tenatng sel stem semakin giat dijalankan dan telah terbukti ia mampu berkembang menjadi sel paru-paru, hati, otot, saraf, pakreas dan rawan. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk menjana sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat lebih 70 jenis penyakit seperti parkinson, alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, penyakit darah (barah, talasemia, anemia), sklerosis multipel, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.
Menurut Dr. Musa Mohd. Nordin, pakar perunding Pediatrik dan Neonatal, terdapat dua punca utama untuk sel stem, iaitu:
1. Sel stem dewasa: sel ini boleh diperolehi daripada janin yang gugur, darah tali pusat, sum-sum tulang, darah dan otak. Sel-sel ini kurang mampu bertukar menjadi sel-sel khas berbanding dengan sel stem embrionik. Bilangannya agak kurang dan kadangkala sukar diperolehi (contohnya, daripada bahagian otak dan retina mata).
2. Sel stem embrionik: sel ini diperoleh daripada tubuh embrio yang terbentuk akibat persenyawaan luar (in-vitro fertilisation), ataupun melalui teknologi pengklonan (pemindahan nuklear sel somatik).
Jenis-jenis sel stem pula ialah:
1. Sel stem totipotent boleh menjadi apa sahaja jenis sel dalam tubuh termasuk plasenta.
2. Sel stem pluripotent yang terhasil dalam tempoh empat hari selepas proses penuburan boleh menjadi apa sahaja jenis sel termasuk sel stem totipotent dan sel plasenta.
3. Sel stem multipotent warisan daripada sel stem pluripotent dan sel lain dalam tisu.
4. Sel stem progenitor boleh menghasilkan satu jenis sel.
Darah tali pusat merupakan punca yang agak baik untuk mendapat sel stem hemopoietik (HSC). Kira-kira 100 ml darah ini boleh membina semula system hemopoietik dalam pesakit kecil seperti kanak-kanak. Darah tali pusat berlainan dengan darah dari sel stem yang lain kerana darah tali pusat adalah darah yang paling muda dan selamat. Ia juga mudah diperolehi iaitu hanya memakan masa lima minit selepas bayi dilahirkan.
Kebaikan transplantasi (pemindahan) darah tali pusat berbanding dengan transplantasi sum-sum tulang atau darah peripheral?
Si penderma tidak perlu memasuki hospital untuk menjalani prosedur pendermaan. Pergerakan sel stem memerlukan ubat misalnya, cyclophospamida dan G-CSF (untuk penderma darah periferal) dan ubat bius untuk penderma sum-sum tulang. Selain itu, transplantasi darah tali pusat juga mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menyebabkan penyakit graft versus host.
Petunjuk saintifik membuktikan kutipan dan simpanan darah tali pusat amat sedikit dan kecil. Oleh itu, kutipan darah tali pusat disyorkan dalam situasi-situasi tertentu terutama bagi keluarga yang mempunyai penyakit genetik. Situasi tersebut adalah;
1. Seseorang anak yang menghidap leukimia, supaya adanya bekalan sel stem sekiranya penyakit itu berulang dan dia memerlukan transplantasi
2. Seorang anak yang memerlukan transplantasi sel stem tetapi penderma yang sesuai tidak ditemui
Darah tali pusat yang disimpan tiada tarikh luput selagi teknik menyimpannya dilakukan dengan baik iaitu disimpan dalam nitrogen cair dengan suhu beku 196°c. Penyelenggaraan yang baik akan sentiasa memberi manfaat kepada bayi ini dan ahli keluarganya apabila mereka ditimpa penyakit-penyakit yang kritikal.
Walau bagaimanapun, keberkesanan darah tali pusat ke atas saudara jauh atau individu di luar kelompok keluarga bergantung kepada keadaan penyakit yang dihadapi. Dan darah tali pusat bayi yang menghadapi penyakit sindrom down pula, hanya boleh digunakan ke atasnya sahaja.
Pemindahan darah tali pusat juga bergantung kepada keserasian penderma-penerima, jumlah sel stem yang berada dalam darah tali pusat dan tahap penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Proses pengumpulan darah tali pusat juga tidak invasif, tidak menyakitkan dan tiada risiko kepada ibu dan bayi. Selain itu, sel stem darah tali pusat jua lebih mudah diterima oleh badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah.
Kini, darah tali pusat yang disimpan di dalam bank mula mendapat perhatian pelbagai pihak setelah usaha menyebarkan kebaikan dan kepentingan darah ini kepada masyarakat dilakukan secara telus. Melalui bank darah tali pusat oleh Pusat Darah Negara yang disediakan oleh kerajaan, setiap ibu bapa boleh menyimpan aset biologi ini dengan lebih selamat dan terancang untuk jangka masa panjang yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi dan ahli keluarga yang lain sekiranya diperlukan.
Selain Pusat Darah Negara, terdapat beberapa buah pusat penyimpanan darah tali pusat swasta yang turut mengembangkan teknologi ini kepada masyarakat iaitu Stemlife Berhad, Cryocord Sdn.Bhd., dan Cellsafe International (CSI) Sdn. Bhd. Bergantung kepada ibu bapa mahu memilih pusat yang mana satu sebagai pusat pelaburan sel stem anak-anaknya. Ini merupakan satu insuran hayat yang berkesan dari segi kos dalam menghadapi penyakit yang tidak dijangka.
Namun, menurut Dr. Musa Mohd. Nordin, jumlah darah tali pusat yang dikutip sewaktu lahir adalah 80 -100 ml yang hanya cukup untuk bayi atau anak yang kecil. Apabila mereka dewasa, sel stem yang telah disimpan sejak mereka kecil tidak mencukupi untuk membantu mereka menjalani rawatan penyakit kritikal. Oleh itu, beliau menyarankan agar semua orang awam mengambil inisiatif menyimpan tali pusat bayi untuk kegunaan bersama. Pengumpulan tali pusat ini akan membantu mereka yang memerlukan dan bukannya untuk kegunaan sendiri sahaja kerana telah terbukti tiada anggaran yang tepat kebarangkalian anak memerlukan sel sendiri yang disimpan..
Memandangkan keistimewaan darah tali pusat ini, ibu bapa harus berhati-hati dengan teknologi baru yang mula berkembang di Malaysia. Setiap darah tali pusat yang ingin disimpan harus mengambil kira soal kepercayaan kepada penyimpannya. Jika anda berhasrat untuk menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan peribadi keluarga, tujuan kaji selidik dan perubatan, anda harus sentiasa meningkatkan pengetahuan dan memantau perkembangan teknologi sel stem di sekitar anda agar tiada unsur penyalahgunaan sel ini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jika anda berhasrat untuk menderma darah tali pusat bayi anda pula, ia merupakan suatu usaha yang murni yang boleh membantu orang lain untuk sembuh daripada penyakit mereka. Pemilihan Bank Darah Tali Pusat Nasional yang bukan bertujuan mendapatkan keuntungan, agak bertepatan dengan objektif anda membantu orang lain. Ini kerana melalui bank darah ini, doktor-doktor boleh melakukan carian di senarai penderma awam untuk mendapatkan sampel daripada orang yang bukan saudara pesakit sebagai punca alternatif pemindahan sel stem.