Khamis, 19 Julai 2007

BUAYA PUTIH

TAHUN lima puluhan Darwis (bukan nama sebenar) anak kelahiran Kampung Makam di Kota Tinggi, mendapat gelaran Darwis Udang Galah, kerana beliau memang seorang yang lasak memburu udang galah di sungai Kota Tinggi hingga sehingga ke hulu. Beratus lubuk dapat dibaca oleh anak muda berkulit hitam manis yang masih belum bertemu jodoh itu.

Setiap kali turun memancing sama ada dengan rakan karibnya atau membawa pemancing lain, beliau mengenakan syarat supaya pemancing tidak memakai kasut atau selipar ketika menaiki bot kayu yang selesa untuk 6 orang pemancing itu.

Beliau juga tidak membenarkan sesiapa mengetuk bibir sampan dengan benda keras yang boleh mendatangkan bunyi kuat atau memukul air sungai dengan dayung.

Pernah berlaku beberapa kali beliau terpaksa membatalkan trip memancing udang galah dan pulang dengan rasa kecewa kerana ada pemancing yang melanggar pantang larang berkenaan.

Beliau mengamalkan pantang larang itu untuk menjaga keselamatan pemancing itu sendiri yang bakal berdepan sang bedal yang tidak dapat dilihat dan akan menjadi ganas jika terusik sesuatu yang tidak disukainya.

Justeru, pantang larang yang diamalkan Darwis berkait rapat dengan naluri reptilia penunggu sungai yang kadang kala dapat menyampaikan bisik rasa antara binatang itu dan Darwis melalui gerak deria pancainderanya.
Jika berlaku peristiwa itu, Darwis terpaksa berpindah lokasi walaupun lubuk berkenaan dipenuhi udang galah bersepit biru.

Kerana beliau memahami naluri sang bedal inilah nama Darwis diberi gelaran oleh penduduk kampung sebagai Darwis Udang Galah atau Bomoh Sungai. Pak Darwis ketika di temui di rumahnya selepas banjir buruk melanda Kota Tinggi berkata banjir besar pada 1950an Bandar Kota Tinggi tenggelam.
Beliau yang duduk di serambi rumahnya memandang jauh antara kesan peninggalan banjir baru-baru ini (Disember 2006 dan berulang pada Januari 2007).

Sambil menarik nafas panjang beliau menceritakan peristiwa dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang dibawa arus deras yang terlepas daripada kawalan ibu bapanya berjaya diselamatkan oleh sang bedal berwarna putih sebaik saja beliau (Darwis) berdoa kepada Allah. Dua jam kemudian sang bedal berwarna putih menjulang kanak-kanak berkenaan lalu menghantarnya ke tebing sungai lalu diselamatkan Darwis dan rakan-rakannya.

“Orang ramai yang terpukau ketika itu tidak menyangka bahawa buaya putih yang menyelamatkan kanak-kanak berkenaan terutama kedua-dua ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit,” Cerita Darwis.

Beliau tidak menolak bahawa sungai Kota Tinggi ada penunggu dan sesekali orang ramai ada melihat buaya putih timbul di permukaan air sungai untuk beberapa saat dan hilang selepas itu.

Tetapi sepanjang banjir yang melanda Kota Tinggi baru-baru ini buaya putih tidak kelihatan timbul walaupun Darwis cuba mengesan isyarat rasa melalui naluri yang pernah dilakukan kira-kira 50 tahun lalu.

“Bagi saya setiap kali banjir yang melanda walau di mana saja, peristiwa buaya putih menyelamatkan dua kanak-kanak tetap bermain dalam kepala,” kata Darwis menamatkan ceritanya sambil mempelawa penulis menjamah ubi rebus berlaukkan sambal tumis udang galah.

diambil dari laman :
www.bharian.com.my/Joran/JoranBH/Pengalaman/20070202161937/pp_index_html
Technorati Profile

Tiada ulasan: